fb fb fb fb fb

Malaysia anjur Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti

Datuk Zamri Misman ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

KUALA LUMPUR, 3 Julai - Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti yang berlangsung hari ini di BoraOmbak @ Marina, Putrajaya.

Persidangan itu menghimpunkan pemimpin tempatan, antarabangsa, pakar undang-undang, akademik dan agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh tadbir urus dan integriti.

Antara badan antarabangsa yang terlibat termasuk Pejabat PBB bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) dan ASEAN-PAC, selain penyertaan sektor awam, korporat dan masyarakat sivil.

Menurut Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman, persidangan menampilkan empat sesi utama iaitu pengalaman memerangi rasuah, penggunaan teknologi seperti AI dan blockchain, pengukuhan integriti dalam organisasi dan penerapan integriti dalam perniagaan.

Beliau berkata demikian dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Persidangan tersebut diadakan serentak dengan IACA Regional Summer Academy Asia Region yang pertama kali dianjurkan di Malaysia bagi mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

Malaysia turut mencatat kejayaan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dilantik sebagai Presiden Sesi ke-13 Perhimpunan Negara-Negara Pihak IACA.

Pelantikan itu menunjukkan keyakinan antarabangsa terhadap peranan Malaysia dalam reformasi institusi.

Persidangan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, akauntabiliti sektor swasta dan transformasi digital dalam tadbir urus selari dengan visi Kerajaan MADANI dan komitmen di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).

Ia dijangka merumuskan cadangan dasar baharu dan memperkukuh kerjasama agensi ke arah institusi yang lebih telus dan berdaya tahan.

TUN JULIA MOHD TAHIR