KUALA LUMPUR, 11 November - Kementerian Pertahanan (MINDEF) mencipta sejarah apabila buat pertama kali mengemukakan 10 permohonan paten kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi melindungi hasil inovasi berimpak tinggi yang dihasilkan oleh warga kementerian itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu diambil bagi memastikan hak cipta terhadap produk inovasi yang dihasilkan dilindungi, selain berpotensi digunakan secara meluas merentasi semua perkhidmatan di bawah MINDEF.
Beliau menegaskan bahawa usaha tersebut mencerminkan budaya inovasi yang diterjemahkan melalui nilai-nilai Malaysia MADANI, sekali gus mendorong warga kementerian untuk berfikir di luar kotak demi manfaat rakyat dan negara.
"Budaya inovasi itu diterjemahkan melalui nilai-nilai Malaysia MADANI seperti daya cipta, kemampanan dan kesejahteraan, yang mendorong kita untuk berfikir di luar kebiasaan demi mencekapkan tugas serta memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Integriti dan Hari Inovasi MINDEF 2025 di sini, hari ini.
Antara inovasi yang diketengahkan ialah Free Energy Water Pump (FEWP) 2.0 mudah alih yang berfungsi menggunakan tenaga solar serta mampu menapis air untuk menghasilkan air bersih di kawasan bergolak atau terjejas bencana.
Tambahnya, pencapaian warga MINDEF di peringkat antarabangsa turut membanggakan apabila mereka meraih enam pingat emas, tiga perak dan dua gangsa dalam pertandingan inovasi di Korea Selatan dan Indonesia baru-baru ini.
Menurut beliau, hasil inovasi MINDEF bukan sahaja mendapat pengiktirafan antarabangsa, malah membantu menjimatkan kos kerajaan serta meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara.
"Di DSA (Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia) 2024 dan LIMA (Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi) 2025 pula, hasil inovasi MINDEF bukan sahaja menyerlah di peringkat dunia, malah menjimatkan jutaan ringgit kos kerajaan serta meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan.
Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global menunjukkan peningkatan positif, menggambarkan kemajuan negara dalam bidang inovasi dan teknologi.
"Dalam Indeks Inovasi Global, kedudukan Malaysia telah naik ke tangga ke-33 pada tahun 2024 dari tangga ke-36 sekitar 2021 sehingga 2023. Ini bukan jelas bahawa kita berada di landasan yang betul," katanya.