PUTRAJAYA, 11 November – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa isu penyusunan semula barisan Jemaah Menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kuasa untuk merombak atau melantik anggota Kabinet merupakan hak mutlak Perdana Menteri.
“Tidak pernah ada perbincangan dalam Kabinet untuk menyusun semula Kabinet.. tidak pernah.. itu hak mutlak Perdana Menteri yang mempunyi kuasa sepenuhnya untuk merombak Kabinet dan melantik sesiapa yang sepatutnya berada sebagai ahli Jemaah Menteri ataupun timbalan menteri,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Mengulas mengenai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dijadualkan diadakan pada Selasa, beliau menjelaskan bahawa perbincangan akan tertumpu kepada isu tuntutan pemulangan 40 peratus hasil Sabah.
“khusus kepada soal tuntutan 40 peratus yang diminta oleh sabah sebagaimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” jelasnya.