fb fb fb fb fb

Letupan Red Fort: PM ucap takziah

Perdana Menteri menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi tidak masuk akal

KUALA LUMPUR, 11 November - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada keluarga mangsa serta rakyat India, susulan insiden letupan yang berlaku berhampiran Red Fort di Delhi pada petang Isnin.

Menerusi hantaran di laman Facebook dan platform X, beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi yang tidak masuk akal.

"Ucapan takziah saya tujukan kepada keluarga mangsa serta rakyat India yang sedang berkabung atas tragedi yang tidak masuk akal ini. Jika disahkan sebagai satu perbuatan keganasan, ia wajar dikecam sekeras-kerasnya. Tidak ada sebarang justifikasi untuk keganasan yang menyasarkan nyawa tidak bersalah dan menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam," katanya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat dan pihak berkuasa yang sedang berusaha mengenal pasti punca letupan serta membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Doa dan ingatan kami bersama semua yang terjejas akibat kejadian ini," katanya lagi.

Terdahulu, sebuah kereta dilaporkan meletup berhampiran kubu bersejarah Red Fort di New Delhi pada Isnin, mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang dan mencederakan beberapa mangsa lain.

MASNIZA AWANG KECHIK