fb fb fb fb fb

Malaysia teroka penggunaan tenaga nuklear berlandaskan tiga prinsip

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berucap pada Persidangan Antarabangsa Tenaga Nuklear 2025 /Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 11 November - Malaysia akan meneroka penggunaan tenaga nuklear secara berhati-hati dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pendekatan Malaysia dalam meneroka tenaga nuklear tidak dilakukan secara tergesa-gesa, tetapi berlandaskan tiga prinsip utama iaitu keselamatan, ketelusan dan kelestarian.

"Sebarang keputusan mengenai tenaga nuklear akan dibuat dengan penuh berhati-hati, berpandukan bukti sains serta penglibatan awam," jelas beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Tenaga Nuklear 2025 (ICNE 2025) di sini

Beliau menekankan kepercayaan rakyat merupakan asas utama pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Dasar Tenaga Negara (NEP) 2022–2040, bagi memastikan transformasi tenaga dilaksanakan secara telus, berperingkat dan berpandukan sains.

Kerajaan telah menetapkan MyPower Corporation sebagai Nuclear Energy Programme Implementing Organization (NEPIO) untuk menyelaras semua usaha perancangan tenaga nuklear.

MyPower bertanggungjawab mengkoordinasi antara kementerian, agensi pengawal selia dan industri, selain memastikan kerangka undang-undang, regulasi dan keselamatan mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Datuk Seri Fadillah turut menekankan kepentingan pembangunan modal insan, termasuk latihan bagi jurutera, saintis dan pengawal selia, serta kerjasama penyelidikan antarabangsa bagi meningkatkan pengetahuan dan inovasi teknologi nuklear.

"Komunikasi awam yang telus adalah kunci membina kefahaman dan keyakinan rakyat kerana pelaksanaan tenaga nuklear bukan sekadar teknologi, tetapi juga soal hubungan kepercayaan antara kerajaan dengan masyarakat," kata beliau.

Dalam persidangan ICNE 2025 itu, pakar-pakar terkemuka berhimpun yang terdiri daripada Jabatan Tenaga Atom Malaysia, Pusat Tenaga ASEAN, Perbadanan Nuklear Negara China, AtkinsRealis Kanada, serta Persatuan Nuklear Korea.

Datuk Seri Fadillah turut menyeru agar kerjasama serantau diteruskan dengan kepercayaan awam sebagai asas bagi membentuk ekosistem tenaga yang selamat, lestari dan inklusif di rantau ASEAN.

Malaysia menegaskan komitmen untuk mencapai masa depan tenaga bersih dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi Net Zero 2050.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ