SEPANG, 11 November - Semua pengendali bas perlu memastikan pengangkutan awam itu beroperasi dari terminal yang sesuai, berlesen dan selamat.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagaimanapun menegaskan, pihaknya tidak pernah memaksa mana-mana syarikat bas untuk beroperasi dari terminal tertentu sahaja.
"Setiap pengendali mesti beroperasi dengan lesen yang sah dan dari terminal yang selamat. Definisi "terminal" sebelum ini sangat ketat. Kami telah cuba mempermudahkannya bagi membolehkan lebih banyak kawasan dijadikan terminal.
"Tidak benar bahawa kami memaksa mereka berpindah ke TBS (Terminal Bersepadu Selatan). Mereka cuba mewujudkan persepsi seolah-olah kami memaksa semua pengendali bas atau syarikat lain untuk beroperasi di TBS atau TBG (Terminal Bersepadu Gombak). Jawapannya ialah tidak, kami tidak memaksa sesiapa pun untuk beroperasi di TBS atau TBG," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) dan Kongres Keselamatan Jalan Raya (RSC) 2025 di sini.
Loke mengulas mengenai isu penggantungan operasi perkhidmatan bas ekspres Aeroline selama sebulan bermula 6 November lalu.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan sedang berusaha untuk mewujudkan lebih banyak terminal di kawasan bandar dengan kaedah yang selamat dan teratur bagi mengimbangi antara keselamatan dengan kemudahan.