fb fb fb fb fb

Lebih 70 jenama tempatan dan antarabangsa sertai kempen promosi TMM26

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing/RTM

KUALA LUMPUR, 11 November – Lebih 70 jenama tempatan dan antarabangsa telah menyatakan komitmen untuk bersama mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26), kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata, penglibatan sektor swasta amat penting bagi memastikan kejayaan kempen pelancongan berskala besar itu, selain berharap lebih banyak jenama tempatan tampil menyokong inisiatif kerajaan.

“Itu hari saya dah jawab di Parlimen, Bask Bear bekerjasama dengan kita. Saya ucap terima kasih kepada mereka sebab banyak bantu sektor pelancongan negara kita. Dalam usaha ini, kita ada banyak lagi pihak lain bersama-sama mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026(TMM26).

"Seperti saya kata di Parlimen, kita alu-alukan mana-mana pihak, NGO atau produk lain untuk bekerjasama bagi menjayakan kempen ini", katanya demikian pada majlis menandatangani kerjasama antara Bask Bear Coffee & Toasties dan Tourism Malaysia,hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kempen TMM26 tidak wajar dijadikan isu politik, sebaliknya perlu menjadi platform bersama bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara, khususnya dalam membantu golongan B40.

"Tetapi yang paling penting, jangan mempolitikkan perkara ini. Kita bukan bercakap tentang kaum atau agama sebaliknya kita bercakap tentang pembangunan ekonomi negara, khususnya untuk membantu golongan B40.Jadi, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama.”

Sementara itu, Bask Bear Coffee & Toasties mengumumkan sokongan terhadap kempen TMM26 menerusi penajaan bernilai RM1.2 juta, yang dijangka memberi manfaat kepada 100,000 pelancong luar negara dan rakyat tempatan.

Melalui tawaran ‘Beli 1 Percuma 1’, syarikat tersebut akan menaja 100,000 minuman percuma sebagai sebahagian usaha menarik minat pelancong antarabangsa ke Malaysia.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo, berkata kerjasama itu amat bertepatan memandangkan maskot Bask Bear Coffee & Toasties diinspirasikan daripada Beruang Madu Malaya haiwan ikonik yang turut menjadi maskot rasmi VM2026, iaitu Wira dan Manja.

Kerjasama strategik antara Bask Bear Coffee & Toasties dan Tourism Malaysia itu dijangka memberi impak positif terhadap kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, seiring sasaran kerajaan untuk menarik 47 juta pelancong antarabangsa dengan nilai perbelanjaan pelancongan RM329 bilion.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD