KUANTAN, 3 Julai - Industri kecantikan kini menyumbang RM13.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia dijangka terus berkembang pada kadar 5 hingga 6 peratus setahun, didorong oleh peningkatan permintaan terhadap penjagaan diri, penampilan serta kesedaran gaya hidup sihat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) sentiasa proaktif memastikan ekosistem industri kecantikan berkembang secara mampan, tersusun dan berdaya saing.
Beliau memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan kecantikan seperti rawatan kuku, rawatan wajah serta khidmat gunting dan dandanan rambut, berkuat kuasa sejak 27 Jun lalu.
Keputusan itu diharap dapat meringankan beban pengusaha, melindungi perniagaan kecil serta menggalakkan pertumbuhan industri kecantikan dalam persekitaran yang profesional dan mesra pengguna.
KPDN juga sedang memperkukuh Garis Panduan Industri Kecantikan (Pindaan 2013) supaya kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Pada masa sama, kementerian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus memantau pematuhan undang-undang bagi memastikan perniagaan kosmetik dan estetik menawarkan produk serta perkhidmatan yang sah, selamat dan beretika.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan butik One Doc X Hair Doc di Kuantan.