KUALA LUMPUR, 11 November -Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan langkah berfasa bagi memperbaiki dan menaik taraf Jalan Kuala Baram By Pass di Miri, susulan keadaan laluan itu yang semakin uzur.
Sebahagian jajaran jalan penghubung antara Malaysia dan Brunei itu kini berada dalam proses tender, dan kerja naik taraf dijangka bermula pada suku pertama tahun 2026.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jajaran tersebut termasuk dalam projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
“Sebahagian jajaran jalan ini terletak bawah projek Lebuhraya Trans Borneo yang kini dalam proses perolehan tender oleh JKR Sarawak.
Projek sepanjang 4.95 kilometer ini dirancang bagi meningkatkan tahap infrastruktur jalan raya serta memperkukuh rangkaian pengangkutan darat di wilayah utara Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.
Datuk Seri Alexander menjawab soalan Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, berhubung status pembaikan laluan tersebut.
Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan tambahan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali, Datuk Seri Alexander memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak turut melaksanakan usaha jangka panjang melalui pembinaan laluan baharu bawah projek Sarawak–Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2.
Laluan itu akan menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas, seterusnya ke Sabah, sebagai sebahagian daripada rangkaian jalan strategik negeri bagi memperkukuh keterhubungan kawasan utara Sarawak.