PUTRAJAYA, 3 Julai – Penganjuran 'Cyber Defence and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025' membuktikan komitmen Malaysia dalam memperkukuh daya tahan siber dan peranannya sebagai hab keselamatan siber serantau.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata CYDES menjadi penanda aras penting ke arah ekosistem digital yang lebih selamat dan berdaya tahan, sejajar dengan kedudukan Malaysia di peringkat global.
“CYDES 2025 telah mempamerkan kemampuan Malaysia dalam keselamatan siber serta memperkukuh kerjasama strategik di peringkat antarabangsa.
"Penyertaan daripada 27 negara, 304 pempamer termasuk delegasi terbesar dari China, serta kehadiran lebih 11,000 pengunjung membuktikan kejayaan acara ini,” katanya semasa berucap di Majlis Penutup CYDES 2025 di Putrajaya.
CYDES 2025 turut mencatat beberapa pencapaian utama, antaranya pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan institusi pengajian tinggi, penyertaan lebih 13,000 pelajar dalam ASEAN My Cyber Hero dan pertandingan Capture The Flag (CTF) yang mensimulasikan serangan terhadap sistem kritikal negara.
“Kita mesti terus komited membina negara yang mampu bertahan terhadap ancaman siber, menyesuaikan diri dengan cabaran baru dan yakin dalam era digital,” ujarnya menutup ucapan.