KUALA LUMPUR, 3 JULAI - Laporan penuh kerangka kawal selia bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) masih belum diterima setakat ini, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Menurut beliau, laporan berkenaan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebaik ia dimuktamadkan oleh Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO).
“Seperti yang saya sering tekankan, mereka sepatutnya mengemukakan laporan itu kepada saya. Beberapa mesyuarat juga telah diadakan.
Setelah saya menerima laporan tersebut, sudah tentu ia akan dibentangkan kepada Kabinet, dan bergantung kepada keputusan Kabinet, kita akan tentukan bentuk tadbir urus yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Twin Accelerator 2025, di sini, hari ini.
Tambah beliau, kerajaan turut akan menimbangkan sama ada pelaksanaan kawal selia itu perlu digubal melalui pendekatan perundangan atau berpandukan piawaian sedia ada.
"Saya fikir ini adalah perkara yang perlu kita teliti dengan mendalam. Teknologi menawarkan pelbagai peluang yang hebat, namun pada masa sama turut membawa risiko yang tidak boleh dipandang ringan.
“Apabila kita dapat mengenal pasti pelbagai lapisan yang terlibat, kita akan dapati bahawa risiko yang wujud berbeza mengikut jenis teknologi. Maka, cara menanganinya juga perlu disesuaikan,” katanya lagi.
Sebelum ini, media memaklumkan laporan penuh yang menggariskan rangka kerja pengawalseliaan yang dicadangkan untuk AI dijangka siap pada akhir Jun.