JASIN, 3 Julai - Pembukaan Jalan Baharu Serkam-Bemban memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri apabila ia memendekkan masa perjalanan pelancong dari arah selatan ke destinasi utama di Bandar Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek pembinaan jalan dua lorong sepanjang tiga kilometer itu dibina dengan kos sebanyak RM20.2 juta dan telah siap sepenuhnya pada 25 April lalu.
Beliau juga yakin laluan berkenaan akan memberi impak positif kepada rakyat dengan meningkatkan aksesibiliti penduduk setempat dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
"Jalan ini dapat memendekkn perjalanan masa perjalanan dari Ayer Molek ke tol Jasin sebanyak lima minit. Laluan alternatif strategik ini dapat menghubungkn laluan dari arah selatan untuk masuk ke Melaka dengan lebih cepat.
"Sekiranya melalui tol Jasin terus boleh ke pusat bandar tanpa masuk ke Ayer Keroh yang selalu hujung minggu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian jalan berkenaan di Bemban, di sini.
Datuk Seri Ab Rauf berkata, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sembilan projek baharu dan menaik taraf jalan sekitar negeri itu yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
Antaranya, naik menaik taraf Jalan Tun Hamzah dari Persimpangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke Semabok yang menelan kos kira-kira RM300 juta, Elevated U-Turn dan Direct U-Turn dari Pulau Gadong ke Taman Cheng yang menelan kos RM181 juta dan sebagainya.