BATU KAWAN, 24 Disember- Pelaburan tinggi mendatangkan pulangan yang berbaloi.
Itu adalah respon daripada seorang pengguna yang telah berbelanja lebih RM50,000 bagi memasang sistem solar di kediamannya.
Abdul Mutalib Mohd Ali berkata kajian berkenaan sistem solar ini amat perlu sebelum menggunakannya di kediaman.
Beliau yang juga merupakan jurutera, memasang sendiri sistem solar jenis hybrid di kediamannya sejak tahun 2019.
“Solar sistem ni adalah baik untuk kita pasang, penjimatannya adalah amat signifikan.
“Penjimatannya bergantung kepada cahaya matahari, kadang-kadang sehingga tidak perlu bayar, negatif dan ada masanya kalau musim hujan, tahap solar kurang baik, kita perlu buat bayaran.
“Penggunaan sebulan dianggarkan RM 600 hingga RM700, kalau pakai solar insha-Allah bil kita dalam RM70-RM80 ", katanya ketika ditemui pemberita.
Sistem solar jenis hybrid ini menggunakan inverter dan bateri hibrid khas untuk menyimpan tenaga untuk kegunaan kemudian. Kelebihan sistem jenis ini adalah ketika berlakunya gangguan elektrik, kediaman yang menggunakan sistem ini mempunyai bekalan elektrik seperti biasa.