fb fb fb fb fb

Tenaga muda dalam bidang maritim bantu keselamatan marin, penuhi keperluan industri

Majlis pelancaran Sambutan 'World Marine Aids To Navigation Day' (WatoN DAY) Peringkat Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan

LABUAN, 4 Oktober - Jabatan Laut Malaysia (JLM) menggalakkan lebih ramai tenaga kerja muda menceburi bidang maritim, khususnya sebagai pelaut profesional bagi memenuhi keperluan industri itu meliputi keselamatan dan perlindungan alam sekitar marin.

Ketua Pengarah Laut, Datuk Dickson Dolah, berkata pihaknya mempunyai pusat latihan bertauliah di seluruh negara bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang tersebut.

"Kita ada pusat latihan di seluruh Malaysia yang diiktiraf oleh Jabatan Laut untuk melatih pelaut-pelaut ini. Kalau macam dekat Labuan ini kita ada satu dan di Sabah, di KK kita ada dua dan di Sarawak kita ada dua atau tiga.

"Mereka terus boleh memohon kepada pusat latihan tersebut. Jabatan Laut memang sentiasa mengalu-alukan orang ramai terutamanya tenaga kerja yang baru, tenaga kerja muda untuk menceburi bidang ini," katanya.

Beliau berktaa demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Sambutan 'World Marine Aids To Navigation Day' (WatoN DAY) Peringkat Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan di sini.

Tambah beliau, bidang maritim menawarkan pelbagai peluang kerjaya berpendapatan tinggi bukan sahaja di perairan negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa selaras dengan perkembangan industri pelayaran global.

Justeru lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang untuk menyertai latihan tersebut di Institut Latihan Maritim dan memperoleh akreditasi Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Setakat ini lebih 30,000 peserta berjaya memperoleh sijil dan lebih 6,000 daripadanya merupakan pelaut aktif yang bekerja dalam bidang itu.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI