fb fb fb fb fb

3 feri berlabuh di dermaga Langkawi musnah terbakar

Ketiga-tiga feri itu masing-masing musnah 90 peratus, 70 peratus dan 10 peratus di bahagian kiri.

LANGKAWI, 28 Oktober- Tiga buah feri yang sedang berlabuh musnah dalam kebakaran di Limbungan Pembaikan Kapal Bukit Malut, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Zon 4 Langkawi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani, kejadian kira-kira pukul 2.29 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

"Ketiga-tiga feri itu masing-masing musnah 90 peratus, 70 peratus dan 10 peratus di bahagian kiri. Satu lagi feri sempat ditarik keluar bagi mengelak api merebak.

“Sebaik tiba, kebakaran melibatkan tiga daripada empat feri yang berlabuh. Dua aliran hos sepanjang 200 kaki bersama tiga sumpitan air dari pili bomba dan water tanker digunakan untuk memadamkan api, selain penggunaan aliran foam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 21 anggota bomba dari tiga balai Persiaran Putra, Langkawi dan Padang Mat Sirat bersama lima anggota polis bantuan dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.37 pagi.

Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN