“Salam kaut” : Antara adat dan hukum

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Salam kaut ialah sedekah yang disisipkan semasa berjabat tangan, sebagai bentuk sumbangan dan kebersamaan.
  • Amalan ini berperanan meringankan beban tuan rumah serta mengukuhkan kerjasama, keprihatinan dan ikatan masyarakat.
  • Dasar agama menyokong sedekah dan bersalaman; hadis menyatakan keampunan dan ganjaran bagi pemberi serta yang bersalaman.
  • Penggunaan QR atau kad debit perlu berhati-hati supaya tidak memaksa, menimbulkan fitnah, riya atau mengkomersialkan majlis; pilihan dan ikhlas penting.

Selain dari kunjungan meraikan Aidilfitri tidak lama lagi, undangan kenduri perkahwinan juga bakal menyusul dengan meriah dalam kalangan masyarakat Melayu. Amalan “salam kaut” antara yang biasa diamalkan oleh masyarakat kita.

Salam kaut merujuk kepada amalan berjabat tangan dengan tuan rumah sesuatu majlis sambil menyisip sejumlah duit pemberian kepada tuan rumah.

Pemberian yang disisipkan semasa bersalaman dengan tuan rumah ini adalah satu bentuk sedekah daripada jemputan yang diundang.

Amalan salam kaut dilaksanakan bertujuan merealisasikan manifestasi rasa kebersamaan, kerjasama, keprihatinan, dan sumbangan kepada pihak tuan rumah. Amalan ini diharap dapat membantu dan meringgankan bebanan pihak tuan rumah.

Ini sejajar dengan anjuran daripada hadis Nabi SAW yang bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka Allah SWT akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat.

Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah SWT akan memudahkannya di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim, Hadis 2699)

Hikmah dan Kelebihan Amalan Bersalaman

Amalan bersalaman sesama muslim mempunyai hikmah yang tinggi dan mempunyai kelebihan. Kelebihan amalan bersalaman dinyatakan dalam sebuah hadis:

عَنِ الْبَرَاءِ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: « مَا مِنْ مُسْلِمَيْنِ يَلْتَقِيَانِ فَيَتَصَافَحَانِ إِلاَّ غُفِرَ لَهُمَا قَبْلَ أَنْ يَفْتَرِقَا ».

Maksudnya: Daripada al-Barra’ bin Azib R.A berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah ada dua orang muslim itu apabila bertemu, lalu bersalamanan, melainkan akan diampunkan dosa keduanya sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud, Hadis 5214)

Hadis ini menjelaskan bahawa hikmah amalan bersalaman di antara dua orang saudara muslim ialah akan beroleh keampunan terhadap dosa kedua saudara itu sebelum masa berpisah.

Selain itu, amalan bersalaman ini merupakan amalan para sahabat Nabi SAW. Daripada Qaradah R.A beliau berkata kepada Anas bin Malik:

عَنْ قَتَادَةَ رضي الله عنه قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسٍ: أَكَانَتِ المُصَافَحَةُ فِي أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: «نَعَمْ»

Maksudnya: “Adakah terdapat perbuatan bersalaman dalam kalangan sahabat Nabi SAW?” Jawab Anas: “Ya.” (Riwayat Bukhari, Hadis 6263)

Kelebihan Menyisip Duit Dalam Amalan Salam Kaut

Menyisip duit semasa bersalaman dengan tuan rumah atau dikenali sebagai salam kaut pada hari ini mempunyai banyak kelebihan kerana ianya adalah satu sedekah. Firman Allah SWT:

إِنَّ الْمُصَّدِّقِينَ وَالْمُصَّدِّقَاتِ وَأَقْرَضُوا اللَّهَ قَرْضاً حَسَناً يُضَاعَفُ لَهُمْ وَلَهُمْ أَجْرٌ كَرِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah, serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah SWT, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya), dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia.” (Surah al-Hadid: 18)

Ayat ini menjelaskan berkaitan kelebihan pemberi sedekah iaitu mendapat balasan pahala yang berganda dan mulia.

Namun apa yang perlu diingatkan ialah syarat-syarat yang perlu diketahui dalam pelaksanaan amalan sedekah. Al-Quran menjelaskan berkaitannya dalam firman Allah SWT:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّـهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya”. (al-Bayyinah: 5)

Ayat ini menjelaskan bahawa amalan sedekah mesti dilakukan dengan sifat ikhlas. Nilai dan saiz sesuatu sedekah itu bukan sesuatu yang perlu diberi keutamaan sebaliknya niat yang tersemat dalam hati seseorang pemberi itu sangat penting untuk dihitung sebagai amalan yang diterima oleh Allah SWT.

Berdasarkan kelebihan dan hikmah amalan budaya salam kaut yang dilaksanakan dalam masyarakat pada hari ini, ianya sangat baik untuk diteruskan selagi pelaksanaannya sentiasa dipelihara agar tidak bertentangan dengan hukum syariat.

Wajarkah Salam Kaut Guna QR atau kad debit?

Isu ini mula timbul dan hangat diperkatakan dalam masyarakat pada hari ini. Pihak tuan rumah menyediakan kod QR (contoh QR DuitNow) untuk salam kaut digital.

Amalan salam kaut menerusi QR ini berbeza dalam penggunaan medium transaksi duit kepada tuan rumah. Begitu juga pelaksanaan amalan salam kaut secara kad debit.

Penggunaan QR atau kad debit bagi pemberian duit perlu diperhalusi agar tuan rumah tidak dianggap mengkomersialkan majlis, seolah-olah meminta derma walaupun tidak berniat seperti itu,

Penggunaan QR atau kad debit juga cenderung menimbulkan tekanan kepada tetamu apabila timbul situasi “nanti orang pelik kalau tak scan”. Kelompangan ini boleh membuka ruang fitnah atau salah faham kepada tuan rumah.

Sebahagian masyarakat berpandangan bahawa pelaksanaan amalan salam kaut menerusi QR atau secara kad debit ini mudah dan sesuai untuk generasi muda yang suka kaedah tanpa tunai atau cashless.

Namun ianya dilarang jika terdapat unsur fitnah, terpaksa atau dipaksa malahan boleh berubah hukum jika disalah guna, ada unsur riya’, memudaratkan adat masyarakat dan tidak selari dengan tujuan asalnya.

Misalnya secara terang-terangan meletakkan QR besar di pelamin, membuat hebahan terbuka di FB Live atau Tik Tok kepada setiap orang yang scan pada QR dalam majlis atau di luar majlis, berkongsi rekod moment scan QR.

Tuan rumah perlu mengetahui panduan tentang cara pelaksanaan penggunaan QR atau kad debit untuk pemberian duit oleh tetamu undangan majlis, tidak dimestikan dan cukup sebagai pilihan.

Secara umumnya, penulis berpandangan penggunaan QR atau secara kad debit bagi menyalurkan pemberian duit kepada tuan rumah majlis dilihat sedikit janggal dalam adat dan budaya tradisional masyarakat kita.

Adalah lebih manis sekiranya budaya pemberian duit dilakukan secara bersemuka dengan pihak tuan rumah agar wujud suasana kemanisan persaudaraan dan persahabatan dalam sesebuah majlis.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Mariam Abd Majid
Pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin,
Fakulti Pengajian Peradaban Islam
Universiti Islam Selangor


Mohd Norzi Nasir
Ketua Unit Hadis dan Penyelidikan,
Institut Kajian Hadis dan Akidah
Universiti Islam Selangor