KANGAR, 28 Oktober - Program Ziarah Kasih merupakan salah satu inisiatif kebajikan bawah pelaksanaan Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) yang dirancang dan diterajui oleh Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE).
Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis serta Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) menyantuni 104 pelajar asnaf terpilih seluruh Perlis.
Menurut Penasihat Program FCoEE yang juga Pengerusi Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM), Datin Noridah Yangman memaklumkan, tumpuan utama program kepada 104 pelajar asnaf secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober 2025 dan akan disambung pada awal November 2025.
"Melalui pendekatan turun padang ke kediaman masing-masing, program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi turut menjadi wadah bagi menyemai semangat silaturahim, kasih sayang, dan keprihatinan antara pihak FCoEE, rakan strategik, serta keluarga peserta.
"Selain itu, Ziarah Kasih turut berfungsi sebagai medium bagi FCoEE menilai serta memahami latar belakang sebenar peserta terdiri anak-anak asnaf agar pelaksanaan PPITM dapat terus ditambah baik dan memberi kesan positif yang menyeluruh kepada komuniti sasaran," katanya.
Beliau memaklumkannya pada Program Ziarah Kasih Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) sekitar Kangar bersama Pengerusi FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin, bersama wakil Jabatan Pendidikan Negeri, Universiti Utara Malaysia, UiTM Cawangan Perlis dan PTSS
FCoEE terus komited untuk memperkasa pendidikan berteraskan nilai kemanusiaan, menyemai budaya prihatin, serta memperluas impak positif Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) kepada komuniti setempat.
Program berkenaan membuktikan pendidikan, apabila disemai dengan kasih dan empati, mampu menjadi pemangkin kepada perubahan kehidupan yang lebih bermakna dan berdaya tahan.