POKOK SENA, 4 Oktober - Setakat pukul 12.00 tengah hari tadi, 200 penduduk melibatkan 50 keluarga di sini masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Pokok Sena selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, petang semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah merangkap Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan, PPS Dewan Serbaguna dibuka pada pukul 11.00 malam tadi.
"Kawasan terjejas banjir melibatkan tiga mukim iaitu Mukim Gajah Mati, Mukim Tualang dan Mukim Derang. Kawasan terjejas ialah Taman Puteri, Kampung Sungai Durian, Kampung Temusu, dan Kampung Pulau Nyor," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, tiga sungai di Kedah telah melebihi paras bahaya.
Setakat pukul 6.30 pagi tadi, Sungai Nawa di Kampung Pokok Sena Lama mencatatkan paras air 10.54 meter melebihi paras bahaya 10.39 meter.
Manakala Sungai Chepir di Titi Pekan Sik mencatatkan 36.69 meter melebihi paras bahaya 36.55 meter.
Sungai Ketil di Kampung Bongor, Baling pula mencatat 60.1 meter melebihi paras bahaya, 60 meter.
Bagaimanapun paras air di ketiga-tiga sungai berkenaan telah menunjukkan trend penurunan pagi tadi.
Dalam pada itu, paras air di Sungai Muda, Ampang Jajar, Kuala Muda turut merekodkan 2.84 meter, melebihi paras amaran iaitu 2.75 meter.
Dua lagi sungai iaitu Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu dan Sungai Naka di Naka, Padang Terap berada pada tahap waspada dan menunjukkan trend menaik.
Selain Pokok Sena, beberapa kawasan di Kedah seperti Padang Terap, Kubang Pasu, dan Sik dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat selama beberapa jam bermula pukul 2.00 petang semalam.