KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Hubungan Malaysia dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terus diperkukuh menerusi pertemuan dua hala antara Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut berkata pertemuan itu menzahirkan komitmen kedua-dua pihak terhadap hubungan yang erat dan konstruktif, berasaskan rundingan berkala, bantuan teknikal serta kerjasama dasar yang berterusan.
"Perbincangan turut menyentuh isu keseimbangan semula perdagangan global, pengukuhan rangka keselamatan kewangan antarabangsa serta pelaksanaan reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI," kata beliau.
Malaysia dalam masa sama menegaskan pendirian untuk kekal komited terhadap disiplin fiskal serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0% hingga 4.8% pada tahun 2025.
Pertemuan itu menjadi bukti kepercayaan IMF terhadap keupayaan Malaysia melaksanakan pembaharuan ekonomi yang progresif dan memastikan kestabilan makroekonomi negara terus terpelihara.