KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Malaysia tidak pernah berganjak dalam pendiriannya untuk terus menggesa penyelesaian yang lebih komprehensif terhadap isu Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu konflik di Gaza merupakan antara perkara utama yang sering dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sewaktu di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Ini terutama dalam menyeru agar hak dan maruah rakyat Palestin terus dipertahankan.
"Tiap kali jumpa Trump, akan beritahu mengenai Gaza. Saya ucapkan terima kasih atas penyelesaian awal, tetapi perlu ada penyelesaian sepenuhnya bagi penghormatan kepada rakyat, jangan ada lagi perkara ini berlaku. Pastikan tidak ada lagi kekejaman dilakukan.
"Saya beri pandangan (kepada Trump), tetapi hubungan diplomasi ini tidak semua kena ‘jerit’ di luar, yang penting saudara ada mewakilkan kepada saya jadi jurucakap dan saya bercakap untuk pertahankan kepentingan rakyat Palestin dan Gaza," kata Datuk Seri Anwar.
"Kemudian, dalam sidang bilateral Malaysia–AS, kita ucap terima kasih, biarlah komprehensif (pelan keamanan 20 perkara bagi Gaza)," kata beliau dalam sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.