KUALA LUMPUR, 28 Oktober- Australia merupakan rakan dialog pertama ASEAN yang konsisten mendukung pelaksanaan visi bersama rantau ini, ke arah masa depan yang inklusif dan mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerjasama erat kedua-dua pihak telah menghasilkan pelbagai pencapaian penting dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
"Anda merupakan rakan dialog pertama ASEAN serta penyokong kuat kepada usaha-usaha pembangunan. Anda juga menjadi rakan dialog pertama yang menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan ASEAN 25: Our Shared Future," kata Datuk Seri Anwar dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, hari ini.
Antara kejayaan bersama yang telah dicapai termasuk penubuhan ASEAN-Australia Strategic Partnership 2020 (ASP 2020), Comprehensive Strategic Partnership 2021 (CSP 2021) serta naik taraf ASEAN-Australia-New Zealand Free Trade Agreement (FTA) 2023.
Beliau turut menyifatkan sidang kemuncak kali ini sebagai peluang penting untuk memperkukuh hubungan dua hala dan serantau dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan penyelidikan.
"Justeru, mesyuarat hari ini sudah tentu menjadi peluang yang amat baik untuk bertukar pandangan, mendengar pendapat rakan-rakan sejawat serta mencari kaedah bagi bukan sahaja mengemudi tetapi memperkukuh lagi hubungan yang sedia terjalin.
Saya juga amat optimis kerana hubungan antara rakyat kedua-dua negara amat kukuh, melibatkan pelajar, usahawan, penyelidik dan pelancong," jelasnya.
Sidang kemuncak yang dihadiri pemimpin tertinggi ASEAN dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese itu menjadi platform penting memperkukuh keakraban serta hala tuju strategik antara kedua-dua pihak menjelang ulang tahun ke-50 hubungan ASEAN-Australia pada tahun depan.