fb fb fb fb fb

Perikanan Kedah tahan tiga bot pukat tunda ceroboh kawasan pantai

Foto FB Pejabat Perikanan Negeri Kedah

YAN, 28 Oktober - Tiga bot pukat tunda ditahan selepas dikesan menceroboh kawasan pesisir pantai.

Kesemua bot berkenaan ditahan pada jarak antara 10 hingga 12 batu nautika di perairan berhampiran Tukun Terendak, di sini malam tadi.
 
Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris berkata, hasil aduan nelayan, sepasukan pegawai Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchor berjaya mengesan dan menahan ketiga-tiga bot berkenaan.
 
Pihaknya turut berjaya menahan 11 nelayan warga Thailand serta menyita hasil tangkapan, bot dan peralatan menangkap ikan berjumlah kira-kira RM1.5 juta.
 
Kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kelunchor untuk tindakan lanjut.
 
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985, kerana melanggar syarat lesen dengan beroperasi kurang daripada 15 batu nautika dari pantai atau pulau terdekat dan juga dari pantai negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
 
Tegas Sukri, komuniti perikanan perlu mematuhi syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.
 
Syarat tersebut bertujuan untuk memastikan sumber perikanan dieksploitasi secara berhemah demi kelestarian dan manfaat bersama seluruh golongan nelayan.
 
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesalahan dibawah Akta Perikanan boleh menyalurkannya melalui aduan FISHCOM 24 jam ditalian 03-8888 5019.

Trainee