fb fb fb fb fb

Kejayaan ASEAN ke-47, pacu ekonomi dan diplomasi Malaysia

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Kejayaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bukan sahaja mencerminkan kemampuan diplomasi dan tadbir urus negara, malah meletakkan Kuala Lumpur sebagai pentas damai diplomasi dunia.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa berkata, kejayaan ini turut memberi impak positif terhadap keyakinan pelabur dan kedudukan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.

“Kesan daripada perjanjian ART dan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) ini, nilai ringgit dan pasaran saham tempatan meningkat, menandakan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambahnya, kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia membawa hasil yang signifikan melalui termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang membolehkan sebanyak 1,711 produk eksport Malaysia seperti minyak sawit, getah, koko, komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa menikmati kadar tarif lebih rendah termasuk sifar peratus di pasaran Amerika Syarikat.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kesungguhan kerajaan memanfaatkan pentas diplomatik dengan menyatakan pendirian Malaysia secara terus kepada Presiden Donald Trump mengenai isu keamanan dan kemanusiaan, termasuk situasi di Gaza, Palestin.

“Antara pencapaian utama yang wajar kita banggakan ialah penyatuan pendirian ASEAN dalam isu politik serantau, khususnya berkaitan Laut China Selatan dan krisis kemanusiaan di Myanmar.

Malaysia juga berjaya mendamaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja serta Timor-Leste yang diterima sebagai anggota tetap ASEAN,” tambahnya.

Trainee