KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier China, Li Qiang berkesempatan meninjau model terbaharu Proton Saga serta Proton e.MAS 5, yang menjadi simbol keakraban hubungan antara Malaysia dan China sebelum memulakan persidangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pagi tadi.
Menurut Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook, lawatan itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya dalam pembangunan industri automotif dan inovasi teknologi.
"Hubungan ini terus berkembang kukuh, mencerminkan keazaman bersama untuk melangkah ke hadapan bukan sahaja dalam sektor automotif, tetapi juga dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan mobiliti pintar, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian nilai automotif serantau ASEAN," kata beliau.
Ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju dalam bidang teknologi dan kelestarian masa hadapan.