fb fb fb fb fb

ASEAN: Timor-Leste tekankan kepentingan dialog dan keamanan untuk keutuhan serantau

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao menegaskan bahawa keamanan dan dialog berterusan merupakan asas penting bagi memastikan pembangunan mampan di rantau ASEAN serta kestabilan global.

Menurutnya, semua rakan dialog ASEAN kekal komited memperkukuh hubungan dengan blok serantau itu dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan pembangunan sosial, sekali gus mencerminkan keazaman bersama ke arah kestabilan dan kemakmuran sejagat.

Mengulas pengalaman negaranya yang pernah berdepan konflik, Gusmao menekankan bahawa keamanan sejati hanya dapat dicapai melalui proses perdamaian dan penglibatan berterusan.

"Pengalaman kami lebih banyak berkisar tentang keganasan dan perdamaian dan saya tidak mempunyai sebarang pengalaman buruk secara khusus.

"Apa yang kita perlukan bukan hanya untuk situasi ini, tetapi juga untuk Ukraine, Gaza, Sudan Selatan dan banyak lagi tempat lain, lebih banyak dialog", katanya selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini, hari ini.

Jelasnya, keperluan kepada dialog bukan sahaja penting bagi rantau ini, tetapi juga untuk menangani krisis kemanusiaan di seluruh dunia.

Dalam pada itu, beliau juga berpandangan bahawa sebarang keputusan mengenai perluasan keanggotaan ASEAN pada masa hadapan akan ditentukan oleh kesepakatan negara-negara anggota sedia ada.

Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN pada 26 Oktober lalu, menandakan perluasan pertama blok serantau itu dalam tempoh 26 tahun.

Trainee