fb fb fb fb fb

ASEAN kekal tumpu usaha keamanan, pertumbuhan ekonomi serantau

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - ASEAN kekal tertumpu kepada usaha mengekalkan keamanan dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi di rantau ini.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, keamanan yang dinikmati kini memberi ruang besar kepada negara anggota untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, perdagangan dan kerjasama serantau.

"Kita bukan bermula tahun ini. Apa yang paling penting dalam mana-mana badan serantau ialah memastikan keamanan. Kini ASEAN akan menjadi antara rantau paling aman di dunia.

Kedua, tumpuan diberikan kepada asas ekonomi. Dari segi pelaburan, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi, rantau ini merupakan antara yang berkembang paling pesat di dunia," kata beliau dalam sidang media penutup sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Tambah beliau, pembangunan Grid Kuasa ASEAN merupakan antara pencapaian penting tahun ini, meskipun masih banyak lagi matlamat yang perlu dicapai.

Beliau berkata inisiatif itu menyerlahkan lagi komitmen ASEAN terhadap keterhubungan serantau dan memperkukuh usaha diplomatik serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN.

Platform ASEAN juga turut digunakan untuk memperluas kerjasama dengan benua lain, termasuk mempercepatkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah.

Ini selain memperkukuh hubungan dengan Amerika Latin dan Afrika, yang dilihat mampu membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ