fb fb fb fb fb

Penyeragaman undang-undang islam perlukan kerjasama penguatkuasa sivil - Naim

Foto fail

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Penyeragaman undang-undang Islam serta pelaksanaannya di seluruh negara memerlukan kerjasama bersepadu antara agensi agama dan penguatkuasa sivil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, walaupun undang-undang syariah terletak di bawah bidang kuasa negeri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berperanan penting menyelaras penyeragaman undang-undang tersebut di peringkat kebangsaan.

"Penyeragaman dan pelaksanaan undang-undang islam ini perlu ada penyelarasan. Macam mana penyelarasan dan penyeragaman itu dibuat? kita nak wujudkan satu tak boleh sebab di bawah perlembagaan itu memang kuasa itu ada pada negeri.

"Jadi di sinilah peranan yang dimainkan oleh majlis kebangsaan hal ehwal islam, MKI, menyeragamkan undang-undang jenayah syariah, memang kita JAKIM dan JAWI akan sentiasa memanggil dengan ada satu jawatan kuasa penyelarasan di peringkat jabatan tersebut dan polis-polis dan agensi-agensi kuasa sivil dipanggil untuk tindakan bersama yang dibuat", katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Peringkat Wilayah Persekutuan 2025, anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bertemakan “Syariah Dilestari, Ummah Madani Rabbani di sini, hari ini.

Konvensyen yang menghimpunkan lebih 200 peserta itu turut membincangkan isu kebebasan bersuara di media sosial, penyebaran ajaran sesat, serta pengajaran agama tanpa tauliah dan kesalahan minuman memabukkan.

Usaha ini sejajar dengan teras “Kemuliaan Syariah” di bawah Pelan Transformasi Al-Falah, ke arah memperkukuh pelaksanaan undang-undang Islam dalam kerangka Malaysia Madani.

Tambahnya, konvensyen ini dijangka membantu membentuk garis panduan baharu kepada pegawai penguatkuasa agama dalam menghadapi cabaran dunia digital, selain memperkukuh pelaksanaan undang-undang Islam yang berintegriti.

Trainee