GEORGE TOWN, 28 Oktober - Kerja-kerja pembersihan dan penilaian keselamatan cerun di sepanjang Jalan Tun Sardon yang menghubungkan Paya Terubong ke Balik Pulau masih giat dijalankan.
Ia berikutan penutupan jalan tersebut akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku pada Khamis lalu.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata penutupan laluan utama itu berterusan sehingga 31 Oktober ini.
Namun terdapat kemungkinan jalan tersebut dibuka lebih awal, esok, di mana bergantung pada penilaian keadaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan akan dimaklumkan semula.
"Buat masa ini masih lagi ditutup dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan, jadi kita kena pastikan semua selamat sebelum boleh dibuka kerja-kerja pembersihan jalan masih berjalan kalau ikutkan perancangan JKR memang nak tutup sehingga 31 Oktober, tapi paling awal boleh buka pun mungkin esok tapi bergantung pada keadaan," kata beliau selepas merasmikan Persidangan Pemeriksaan Buruh ASEAN ke-14, di sini hari ini.
Pengguna jalan raya terutamanya dari Teluk Kumbar ke Bayan Lepas dijangka akan terus menghadapi kesesakan lalu lintas dalam beberapa hari ini.
Pihak polis juga turut membantu mengawal aliran trafik.
Sementara itu, bagi situasi runtuhan di kawasan jalan Persekutuan yang menghubungkan Teluk Bahang ke Balik Pulau berhampiran Titi Kerawang sudah dibuka semula.
Jalan itu kini dibuka separuh jalan untuk motosikal dan kereta, tetapi masih ditutup untuk kenderaan berat.