KUANTAN, 28 Oktober - Budaya membaca, memupuk akhlak mulia dan membina masyarakat yang berfikir serta beradab selari dengan objektif utama penganjuran Pesta Buku Pahang 2025 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pesta selama sembilan hari sehingga 2 November ini dilihat bertepatan menjadi jambatan menghubungkan dunia intelektual dengan masyarakat.
"Jadi melalui pendidikan rakyat pahang berilmu dan mempunyai ilmu pengetahuan yang mantap dan dapat menilai hala tuju negeri pahang ataupun mungkin memberi pandangan yang bernas kpd negeri pahang kalau negeri pahang jika ramai rakyat pahang yang berilmu", katanya selepas merasmikan Pesta Buku Pahang 2025 di sini, hari ini.
Katanya, pesta buku tersebut merupakan sebahagian daripada teras utama dalam Aspirasi Pahang First.
Bukan sekadar acara jualan buku, pesta ilmu turut meraikan penulis, tokoh-tokoh sastera dan ilmuwan, di samping mencungkil bakat anak-anak dalam bidang sastera dan sains.
Justeru, sebanyak 100 ribu ringgit diperuntukkan kepada PPAP sebagai usaha menarik rakyat Pahang mencintai ilmu.
"Selain pendidikan, Aspirasi Pahang First digagaskan dengan pelbagai pengisian merangkumi ekonomi dan pembangunan negeri, transformasi tadbir urus, kelestarian alam, kesejahteraan rakyat dan keadilan sosial", katanya.
Sebanyak 49 pempamer dan 70 reruai yang majoritinya daripada Lembah Klang disediakan di Pesta Buku Pahang.