KUCHING, 4 Februari - Kerajaan Sarawak yakin kelebihan dalam penghasilan dan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui untuk memajukan ekonomi negeri ini sekaligus memberi manfaat kepada rakyat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak perlu fokus dan memanfaatkan kekuatan tersebut memandangkan Sarawak kini menjadi rujukan dan tarikan negara luar.
"Setelah kita melakukan analisis terhadap kekuatan-kekuatan tersebut, kita dapat memberikan fokus untuk memanfaatkannya sepenuhnya. Ada yang menamakan ini sebagai kelebihan perbandingan, iaitu kelebihan terhadap pesaing kita.
"Jadi untuk Malaysia berkembang, Sarawak akan terus memberikan fokus kepada tenaga. Negeri lain mungkin mempunyai kekuatannya yang tersendiri, dan kekuatan kita adalah tenaga, jadi kita fokuskan kepada perkara ini," katanya demikian pada Majlis Perasmian Penutupan LANDAS Summit 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching pada Sabtu.
Pada majlis tersebut, Premier turut memuji usaha pihak Jabatan Tanah dan Survei dalam menghasilkan data seiring dengan pendigitalan untuk mengkaji kategori tanah yang sesuai untuk agenda pembangunan yang sedang dirancang pada masa kini.
Abang Johari turut mengumumkan bahawa Syarikat automatif BMW bakal menberi sebuah kenderaan hidrogen jenis “BWM Five Series”kepada pihak Kerajaan Sarawak memandangkan Sarawak giat membangunkan penggunaan kenderaan hidrogen.
“Mereka(BMW) hendak berikan model kereta BMW 5 Series ini kepada Putrajaya, tetapi mereka tidak mempunyai hidrogen, oleh itu, mereka akan hantarkan kereta itu ke Kuching, biarlah kami di Kuching yang menggunakannya. “
"Ini menunjukkan semakin banyak syarikat yang mula beralih ke tenaga hidrogen, kerana hidrogen adalah tenaga yang paling bersih," ujarnya.
Pada majlis itu, Premier Sarawak turut menyampaikan trofi kemenangan International Convention On Quality Control Circle ICQCC 2023 dan sesi pemotongan kek ulang tahun ke 106 Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.