PADANG TERAP, 4 Februari - Polis Daerah Padang Terap menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya sekumpulan warga asing dari Bangladesh bertindak mahu memukul seorang penunggang motosikal di Kampung Pisang di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Mulkiaman Manzar berkata hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku pada pukul 10 malam melibatkan seorang penunggang motosikal warga tempatan yang terlanggar seorang lelaki warga Bangladesh.
Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Padang Sanai telah ke lokasi kejadian selepas kemalangan berlaku dan tiada apa-apa kejadian pergaduhan dan sebagainya berlaku.
Katanya, warga asing tersebut telah tampil membuat laporan polis berkaitan kemalangan tersebut, semalam.
“Kelmarin (semalam) baru lelaki Bangladesh tu buat laporan polis kata motosikal tu langgar dia tapi tiada yang kata pukul-pukul. Memang tidak berlaku kejadian pukul itu. Warga asing tu pun selepas kena langgar (dia) takut. Kemalangan tu tiada apa- apa cuma (lelaki) yang bawa motorsikal ada di hospital. Isteri dia pun sahkan kata suami dia tidak kena pukul. Kita (polis) pun sudah siasat, katanya ketika dihubungi RTM di sini hari ini.
Katanya, penunggang motorsikal yang terlibat dalam kemalangan tersebut juga telah mengesahkan bahawa beliau tidak dipukul oleh sesiapa.
DSP Mulkiaman turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan tidak tepat yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Baru-baru ini, seorang pengguna facebook bernama “Betty Arshad” mendakwa sekumpulan warga asing mahu membelasah penunggang motorsikal selepas seorang warga Bangladesh dilanggar oleh motorsikal terbabit berhampiran simpang Kampung Pisang, Padang Terap.
Hantaran tersebut dikongsikan di Facebook “Penduduk Kuala Nerang, Daerah Padang Terap Kedah”.