fb fb fb fb fb

Padah guna telefon ketika memandu, pemandu bas ditahan

Foto ihsan JPJ Kedah

ALOR SETAR, 4 Februari- Seorang pemandu bas ekspres menerima padah apabila ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kedah kerana menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata kejadian berlaku ketika bas yang sedang membawa penumpang itu dalam perjalanan dari Alor Setar ke Ipoh, semalam.

Namun, ketika dalam perjalanan, pemandu bas tersebut dikesan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Perbuatan pemandu bas itu berjaya dirakam oleh anggota JPJ yang melakukan Ops Penyamaran Tahun Baharu Cina 2024.

"Pemandu bas telah dikenakan tindakan undang-undang dibawah Subkaedah 17A(1) Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959, iaitu penggunaan telefon bimbit/alat komunikasi semasa memandu dan dikompaun RM300 dan penambahan mata demerit dalam Sistem Kejara," katanya menerusi kenyataan.

Dalam satu lagi operasi penyamaran bas menuju ke Kuala Lumpur, Aman Shah berkata seorang pemandu bas telah dikenakan tindakan di bawah Kaedah 15(D) Kaedah-Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam 1959 (L/N 177/1959 - Tatakelakuan Pemandu KPA (Merokok Semasa Memandu).

Tegas Aman Shah, penguatkuasaan berterusan terhadap kenderaan perdagangan akan diteruskan dalam usaha mengurangkan risiko berlakunya kemalangan.

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM