fb fb fb fb fb

Hampir 20,000 rakyat Pahang hadir Malam Karnival Pahang 2024

Pelbagai acara menarik disediakan dengan persembahan kebudayaan daripada pelbagai bangsa serta perarakan kereta berhias dan lain-lain lagi

KUANTAN, 3 Februari - Sempena sambutan Malam Karnival Pahang 2024 hampir 20,000 rakyat Pahang hadir membanjiri Dataran Sayangi Kuantan, di sini.

Program sempena memuliakan Keberangkatan Balik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 itu dimuatkan dengan pelbagai pengisian menarik untuk tatapan pengunjung.

Turut berkenan berangkat, Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Program kemuncak Karnival Rakyat Pahang itu dimulakan dengan persembahan kebudayaan daripada pelbagai bangsa serta perarakan kereta berhias.

Sebanyak 20 buah kereta berhias yang disertai daripada pelbagai agensi-agensi kerajaan.

Selain itu, 11 daerah di Pahang turut menyertai pertandingan perarakan kereta berhias dengan mempamerkan identiti daerah masing-masing.

Pada majlis itu, Al Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan hadiah kepada Majlis Daerah Jerantut bagi kategori undian awam.

Manakala johan kereta berhias dinobatkan kepada Tourism Pahang dengan membawa pulang Mock Cheque bernilai RM20,000.

Program turut dimeriahkan lagi dengan pertunjukan bunga api dan persembahan nyanyian oleh artis Aina Abdul, Ameng Spring, Afieq Shazwan dan Roslan Madun.

Program Karnival Rakyat Pahang yang bermula 2 Februari lalu akan berakhir esok dengan pelbagai pengisian seperti Pahang Food Fest, larian kemakmuran, kayuhan basikal 60 kilometer dan sukan rakyat.

TETITIA YUSOFF