KOTA BHARU, 14 Mei - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) memberikan tempoh hingga 31 Disember ini kepada pemilik premis untuk membuat permohonan mendapatkan lesen tanpa dikenakan bayaran bagi mengedar tembakau atau keluaran tembakau terutamanya melibatkan rokok.
Ketua Pengarahnya, Idris Mohd Salleh berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti hampir 60,000 premis di seluruh negara yang perlu dilesenkan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16,000 lesen mengedar tembakau atau keluaran tembakau tanpa bayaran dikeluarkan sepanjang 1 Januari hingga hari ini.
"Kita mempunyai dua pendekatan iaitu pendekatan pada tahun ini kita melesenkan tanpa yuran sebagai tahun untuk kita menerangkan pendekatan yang kita ambil, jadi bermula tahun 2024 barulah kita melesenkan dengan yuran. Ini adalah keputusan yang telah diputuskan kerajaan untuk melaksanakan perlesenan tembakau ini, kita berkuat kuasa lesen ini pada tahun ini, tapi tahun ini kita mengecualikan yuran," kata Idris di sini.
(Idris bercakap kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022
dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di ibu pejabat LKTN, di sini)
Mengulas lanjut, katanya pelaksanaan penguatkuasaan lesen tersebut merupakan salah satu usaha untuk mencegah penjualan dan penggunaan keluaran tembakau tidak sah.
Kadar bayaran untuk mendapatkan lesen tersebut telah ditetapkan bagi mereka yang gagal memohon pada tahun ini dan akan dimuktamadkan pada tahun depan selepas menilai prestasi pada penghujung 2023.
Menurut beliau, pemilik premis berangkai dan individu boleh membuat permohonan bagi mendapatkan lesen tersebut secara dalam talian di portal perlesenan LKTN.