BANDA HILIR, 14 Mei- Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2023 yang berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka turut mengenang kembali insiden Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh yang terkorban semasa operasi menyelamat penduduk terjejas banjir.
Kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Putat pada 20 Oktober 2021 itu dilakonkan semula semasa acara deklamasi sajak bertajuk “Pahlawan Wira Merah”.
Malah, anak-anak Allahyarham Mohd Diya iaitu Muhammad Danish Hakim, 14 tahun dan Nurul Annisa Ilya, 11 tahun menerima barangan peribadi sewaktu operasi berkenaan yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Turut hadir, isteri Allahyarham iaitu Noraida Che Noh.
"Jabatan Bomba dan Penyelamat masih menghargai jasa-jasa arwah walaupun dia dah meninggal dekat dua tahun lebih.
"Saya rasa terharu dengan pemberian jaket penyelamat dengan topi keselamatan itu ketika arwah membuat operasi semasa kejadian banjir lepas," katanya di sini.
Beliau turut bersyukur kerana kebajikan keluarganya masih diberi perhatian oleh JBPM dan salah seorang anak mereka, Nurul Annisa Ilya, dijadikan anak angkat Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka.
(Noraida Che Noh isteri allahyarham Mohd Diya Che Jusoh)