fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri zahir tahniah kepada Nur Hanisah

KUALA LUMPUR,14 Mei - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada anak kelahiran Pahang, Nur Hanisah Aripin, di atas pencapaian skor sempurna iaitu 100 peratus bagi mata pelajaran MA2 Managing Costs & Finance dalam bidang pengajian Foundation in Accountancy ACCA di INTEC Education College, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Turut menzahirkan ucapan tahniah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istana Negara menerusi catatan Facebook rasmi memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Nur Hanisah yang mendapat tempat pertama di Malaysia dan di peringkat dunia bagi mata pelajaran tersebut.

Ia sekali gus mengharumkan nama negeri Pahang dan Malaysia di persada dunia.

“Pencapaian bekas pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang ambilan 2017-2021 itu membuktikan sekali lagi bahawa anak negeri Pahang dan rakyat Malaysia, dengan iltizam dan usaha yang bersungguh-sungguh, mampu bersaing dan mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.


(Foto FB Istana Negara)

“Semoga kecemerlangan beliau menjadi inspirasi kepada seluruh pelajar anak Pahang dan Malaysia yang lain untuk bekerja keras dan memberikan yang terbaik bagi mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing,” menurut catatan itu.

Nur Hanisah merupakan pelajar cemerlang dengan pencapaian 11A dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bagi tahun 2021.

Beliua juga berjaya khatam hafazan 30 juzuk al-Quran pada tahun 2020.

Selain itu, Nur Hanisah juga telah lulus ujian pra-syahadah 5 juzuk al-Quran pada tahun 2021.

Media Baharu