SEREMBAN, 14 Mei - Pengendali syarikat penerbangan dan feri diminta untuk menambahkan jumlah perjalanan ke Langkawi bagi menampung kapasiti pengunjung sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) pada minggu hadapan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata mereka diharap dapat memberi kerjasama berikutan jangkaan jumlah pengunjung yang lebih ramai dalam tempoh berkenaan untuk menyaksikan pameran antarabangsa tersebut.
"Kita ada pengalaman baik dan syarikat yang menganjurkan sudah tentu sudah buat persiapan sudah lama, lebih setahun persiapan dibuat dan saya difahamkan sambutan kali ini cukup luar biasa," kata Loke, di sini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-77 yang turut dihadiri Ketua Setiausaha MOT Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan kerja-kerja pergerukan alur pelayaran bagi laluan feri penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi juga telah selesai dilaksanakan mengikut jadual, sekali gus tidak akan menganggu perjalanan feri semasa pameran LIMA.
Sementara itu beliau berkata banyak syarikat penerbangan dan maritim tempatan dan luar negara menunjukkan minat yang tinggi untuk mempamerkan produk mereka pada LIMA kali ini apabila kesemua reruai yang disediakan habis ditempah.
(Anthony Loke pada Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-77/
FOTO BERNAMA)
"Sambutan diterima cukup luar biasa, tiada satu pun booth kosong, semua telah ditempah, berapa jumlah sebenar (syarikat mengambil bahagian) itu akan kita maklumkan selepas mesyuarat penyelarasan LIMA ‘23 malam esok. Banyak juga perjanjian akan ditandatangani semasa pameran ini yang akan beri kelebihan kepada kita.
"Dari segi persiapan saya tak risau sebab kita dah ada pengalaman dan syarikat yang diberikan amanah anjurkan ia sudah tentu dah buat persiapan lebih setahun. Ia merupakan pameran yang amat dinanti-nantikan oleh semua," katanya.
Pameran LIMA ’23 dijadualkan berlangsung selama lima hari bermula 23 Mei ini dengan kali terakhir pameran dwitahunan itu diadakan adalah pada 2019 dan tidak diadakan pada 2021 susulan pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika itu.
Lebih 600 syarikat dari 60 buah negara dijangka mengambil bahagian dalam LIMA kali ini berbanding 400 syarikat pada edisi 2019.