fb fb fb fb fb

Tempoh Bulan Pemutihan PERKESO dilanjut sehingga 31 Mei - Steven

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan bahawa tempoh pelaksanaan Bulan Pemutihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilanjutkan sehingga 31 Mei 2025.

Langkah itu memberikan peluang terakhir kepada majikan untuk mendaftar dan mencarum pekerja secara sukarela tanpa dikenakan denda atau tindakan undang-undang.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata pelanjutan itu turut melibatkan pengurangan denda sehingga 50 peratus bagi kes Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) dan pengecualian penuh bagi tindakan kompaun serta pendakwaan terhadap majikan baharu yang mendaftar dalam tempoh pemutihan ini.

"Ini susulan terdapat prestasi yang memberangsangkan iaitu penambahan 40 peratus dari segi pendaftaran majikan dan pekerja baharu. Kita nak memastikan supaya pekerja ini mendapat caruman PERKESO.

Jadi, berdasarkan prestasi yang cukup baik pada April ini, dengan lebih satu juta pekerja manfaat. Maka, saya umumkan untuk melanjutkan Bulan Pemutihan PERKESO ini sehingga 31 Mei 2025," kata Steven dalam sidang media, hari ini di ibu negara.

Peningkatan 40 peratus itu melibatkan seramai 8,234 majikan dan 61,746 pekerja yang telah berdaftar, masing-masing membabitkan seramai 46,094 pekerja tempatan dan 15,562 pekerja asing berbanding tahun lalu.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 913 notis FCLB dikeluarkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800), melibatkan 433 majikan baharu dengan nilai pengecualian mencecah RM226,980.

Majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan kompaun sehingga RM5,000 manakala kegagalan membayar caruman pula boleh membawa kepada tindakan mahkamah, dengan hukuman maksimum RM10,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

"Saya ingin menyeru kepada semua majikan supaya tampil mendaftarkan dan mencarum untuk pekerja mereka dengan PERKESO. Sepanjang tempoh ini, mereka akan dikecualikan daripada bayaran denda.

Namun, selepas 31 Mei, tiada lagi kompromi. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang gagal berbuat demikian mengikut peruntukan undang-undang," tambah Steven.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Azirruan Arifin turut hadir dalam sidang media berkenaan.

Bulan Pemutihan PERKESO bertujuan untuk memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja sektor swasta, termasuk pekerja domestik, pekerja asing, serta individu yang bekerja sendiri.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM