fb fb fb fb fb

Telur ayam potensi besar dalam industri makanan, kosmetik dan penyelidikan - Pensyarah UPM

Gambar hiasan

SERDANG, 2 MEI – Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada eksport telur ayam ke pasaran luar, sebaliknya negara perlu memanfaatkan inovasi dan teknologi bagi mengelakkan pembaziran makanan akibat lambakan telur yang tidak terjual.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Noor Azira Abdul Mutalib, langkah itu penting untuk memperkukuh rantaian industri telur tempatan dan memastikan sumber makanan dimanfaatkan sepenuhnya.

“Dengan penggunaan teknologi yang betul, kita bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran tetapi juga menghasilkan produk bernilai tambah daripada telur ayam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, antara kaedah yang dicadangkan ialah membekukan telur yang telah dipecahkan dalam bekas kedap udara supaya tahan sehingga tiga bulan.

Telur ayam juga boleh diproses menjadi telur masin melalui perendaman dalam air garam selama 14 hari sebelum disimpan di dalam peti sejuk.

Tambah beliau, telur untuk kegunaan industri juga boleh dijadikan serbuk melalui kaedah pengeringan semburan (spray drying) yang sesuai untuk pembuatan kek dan roti.

"Namun, proses ini memerlukan peralatan khas seperti pempasteuran, pengeringan dan pembungkusan yang mematuhi piawaian keselamatan makanan," katanya.

Selain bidang makanan, telur juga boleh dicampurkan dalam makanan haiwan bagi meningkatkan kandungan protein atau digunakan dalam industri kosmetik

"Telur juga boleh dijadikan sebagai bahan utama masker muka dan rawatan rambut. Kulit telur pula sesuai dijadikan baja organik bagi menyuburkan tanaman.

“Telur bukan sekadar makanan, malah ia mempunyai potensi besar dalam penyelidikan seperti penghasilan plastik biodegradasi yang menyokong agenda sekuriti makanan negara,” ujar Dr. Noor Azira.

Pada awal April lalu, media melaporkan harga telur ayam jatuh serendah RM8.00 sepapan akibat lambakan pengeluaran dalam negara yang mencecah kira-kira 33 juta biji sehari, meningkat 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Harga telur gred D kini hanya sekitar 16 sen sebiji, jauh lebih rendah berbanding kos pengeluaran sebenar sekitar 38 sen sebiji.

Melalui pendekatan inovatif dan teknologi yang sesuai, Malaysia bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada pasaran eksport, malah membangunkan produk berkualiti yang menyokong kelestarian industri tempatan.

GRACE AISYAH KEDAYAN