PUTRAJAYA, 2 Mei - Penubuhan Kedutaan Kosovo di Malaysia merupakan satu pencapaian penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penubuhan tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan kedua negara, malah menjadi platform meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik.
Ia membabitkan sektor ekonomi, pendidikan, pelancongan dan persijilan produk halal.
Perdana Menteri berpandangan kerjasama dalam sektor halal sebagai satu bidang yang boleh dikembangkan; memandangkan reputasi Malaysia dalam industri halal yang kukuh di peringkat global.
"Pensijilan Halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa. Dan juga memudahkan eksport produk kami, dan lebih kritikal lagi kerjasama antara perdagangan dan pelaburan supaya kami boleh menggunakan kekuatan Kosovo dan hubungan kukuh dengan EU", katanya pada sidang media Kenyataan Bersama Malaysia - Kosovo di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Datuk Seri Anwar juga menekankan bahawa hubungan ini bukan semata-mata hubungan diplomatik biasa, sebaliknya merupakan hubungan strategik yang akan membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi empat hari Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu ke Malaysia.
###