PUTRAJAYA, 2 Mei - Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 berkuat kuasa mulai 1 Mei 2025.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan, ini tidak termasuk Bahagian IVA yang membabitkan peruntukan khas berkaitan standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja.
Empat perkara utama dalam pindaan kedua-kedua akta itu termasuk liputan pemakaian ordinan diperluaskan daripada pekerja bergaji RM2,500.00 ke bawah kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.
Selain itu, tempoh cuti bersalin dinaikkan dari 60 hari kepada 98 hari dan cuti paterniti diperkenalkan kepada bapa sebanyak 7 hari.
"Waktu bekerja dikurangkan daripada 48 jam seminggu kepada 45 jam seminggu. Seterusnya peruntukan baharu tentang aturan kerja anjal, aduan diskriminasi di tempat kerja, aduan buruh paksa, gangguan seksual selain perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja dengan mengadaptasi Akta 446," menurut kenyataan tersebut.
Penyelarasan ini merangkumi tiga akta utama iaitu Akta Kerja 1955 (Akta 265), Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) dan Akta Kanak-kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Akta 350).
Pindaan ini amat penting kerana buat pertama kalinya sejak penubuhan Malaysia, undang-undang perburuhan berjaya diselaraskan di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Ia adalah keutamaan dan bukti komitmen Kerajaan dalam memastikan hak dan kebajikan pekerja di seluruh negara disama ratakan.
Pindaan kedua-dua perundangan ini bagi memenuhi obligasi Kerajaan terhadap pematuhan undang-undang buruh negara kepada piawaian perburuhan antarabangsa.
Tujuannya, meningkatkan imej Malaysia, seterusnya menarik lebih ramai pelabur terutamanya dari luar negara.
KESUMA yakin pindaan kedua-dua ordinan ini akan memberi kesan positif yang besar kepada kebajikan dan hak-hak pekerja di Sabah dan Sarawak, seterusnya meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa.