fb fb fb fb fb

Harga telur kekal stabil di Seremban

Foto Fail

SEREMBAN, 2 Mei – Harga telur ayam kekal stabil meskipun kerajaan mengumumkan penamatan kadar subsidi berfasa berkuat kuasa semalam.

Tinjauan kru RTM di sebuah pasar raya di Seremban mendapati harga jualan telur masih lebih murah berbanding harga pasaran sebelum ini dan tidak menunjukkan sebarang kenaikan mendadak.

Seorang pekerja swasta, Roslan Saamah berkata, kesan pengurangan subsidi itu tidak begitu dirasai kerana harga telur sememangnya telah turun sejak Ramadan lalu berikutan lambakan bekalan di pasaran.

Sementara itu, pesara Thanaletchmee Neelakandan menyifatkan harga telur masih terkawal dan lebih baik berbanding sebelum ini, khususnya bagi telur gred B yang kini dijual pada harga lebih rendah.

Bagi suri rumah, Masriza Abd Rahman pula, kestabilan harga telur ketika subsidi dikurangkan menunjukkan rakyat tidak terlalu terbeban dengan langkah baharu ini.

Orang ramai juga berharap pelaksanaan subsidi bersasar dapat benar-benar membantu golongan yang memerlukan serta memastikan harga barangan asas kekal berpatutan.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI