PUTRAJAYA, 2 Mei – Presiden Republik Kosovo, Dr. Vjosa Osmani Sadriu hari ini telah menganugerahkan Darjah Kebesaran Kemerdekaan atau Order of Independence kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan beliau ke Putrajaya.
Darjah Kebesaran Kemerdekaan merupakan anugerah kehormat sivil tertinggi yang dikurniakan oleh Republik Kosovo kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong kemerdekaan serta pembinaan negara tersebut.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan terhadap sokongan teguh Malaysia dalam memperjuangkan kedaulatan dan pembangunan pasca kemerdekaan Kosovo, selain menghargai komitmen berterusan Perdana Menteri dalam memperkukuh hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara.
Presiden Osmani turut menganugerahkan Darjah Kebesaran Kemerdekaan secara anumerta (pemberian pangkat kepada individu yang telah meninggal dunia) kepada Perdana Menteri Malaysia ke-5, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai penghargaan atas sumbangan beliau pada detik penting dalam sejarah Kosovo.
Bawah kepimpinan Allahyarham, Malaysia menjadi antara negara terawal yang mengiktiraf kemerdekaan Republik Kosovo pada 30 Oktober 2008.
Antara tokoh antarabangsa yang pernah menerima anugerah ini termasuk Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (2014); George W. Bush, bekas Presiden Amerika Syarikat (2018); Micheline Calmy-Rey, bekas Presiden Switzerland (2022); dan mendiang Anne Marie Lizin, bekas Presiden Senat Belgium (2024).