fb fb fb fb fb

Teliti secara rapi mengenai anak pelarian Rohingya lanjut pengajian

KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Isu berkaitan anak pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan tahap pendidikan mereka sehingga ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negara, perlu ditelti secara rapi.

Termasuk mengadakan perbincangan melibatkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi berkaitan menerusi beberapa peringkat serta fasa.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hamzah Ishak berkata, meskipun ada pihak luar yang sudi menaja anak-anak tersebut belajar di IPTA, namun perkara tersebut seharusnya terlebih dahulu diteliti agar tidak berlaku sebarang perkara berbangkit, terutamanya melibatkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan masyarakat madani di negara ini.

"Jadi apa-apa kita ada jawatankuasa pengurusan pelarian di peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Menteri. Dan saya percaya perkara ini kita akan bawak ke jawatankuasa tersebutlah untuk kita perhalusi bagaimana dilaksanakan. Sebab perkara ini ada banyak pro dan kontra. Jadi kita kena lah menarik rambut dari tepung, rambut jangan putus, tepung jangan selerak. itulah kaedah kita mengurus pelarian," kata Hamzah, di sini.

Beliau berkata demikian selepas hadir dan menyempurnakan program penutup Bicara Eksekutif anjuran MKN Negeri Terengganu bertajuk ‘Keselamatan Malaysia Madani Tanggungjawab Bersama’, di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini.

 (Hamzah ketika ditemui pemberita)

Program melibatkan dua slot sesi pembentang dan sesi soal jawab ini turut dihadiri Pengarah MKN negeri Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad serta para pegawai dari pelbagai jabatan dan agensi dibawah kerajaan persekutuan.
 
Terdahulu, slot pertama bertajuk Kedaulatan Maritim dibentangkan oleh Penolong Pengarah Keselamatan  Kedaulatan Maritim Malaysia MKN, Dr. Abdul Rashid Abdul Hamid.

Manakala slot kedua melibatkan Pengarah Bahagian Pengurusan Krisis dan Perisikan Negara MKN, Tajul Ariffin Mohamad yang membentangkan tajuk, Taklimat Arahan MKN Nombor 23, Bahagian Pengurusan Krisis dan Perisikan Negara.
 

Media Baharu