fb fb fb fb fb

Insiden tembakan TUDM: Jenazah Koperal Shuib Bidin selamat dikebumikan

(FOTO RTM)

KEMAMAN, 26 Jun-Jenazah anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) Koperal Mohd Shuib Bidin, 33, yang terlibat dalam insiden kemalangan semasa menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas Satu (KPP Kelas Satu) Siri 78 Palang 23 di Tapak Latihan Grenade Asas, di Lapangan Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan selamat dikebumikan pada pukul 12.30 tengah hari tadi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Kapor, Binjai, di sini selepas solat jenazah di Masjid Jamek Binjai kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Terdahulu jenazah Mohd Shuib dibawa pulang ke kampung halaman isterinya dengan menaiki Helikopter ec 725 milik TUDM.

Jenazah allahyarham kemudiannya tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 11.30 pagi dan urusan pengebumian dilakukan dengan penuh istiadat ketenteraan.
 
Suasana hiba menyelubungi tanah perkuburan sebaik isteri allahyarham Nur Faziera Izam serta ahli keluarganya menyiram air mawar di pusaranya.
 
Lebih 100 rakan dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir kepada Mohd Shuib yang dilaporkan mengalami kecederaan parah dalam Latihan menembak senjata bantuan dan bom lempar bersama dua lagi anggota.

TUDM menerusi satu kenyataan memaklumkan mangsa merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan  (INSTAR), Pengkalan Udara Sendayan disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor ketika diberi rawatan akibat mengalami 
kecederaan parah.

Insiden yang berlaku tengah hari semalam itu turut mengorbankan Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi.

Manakala seorang lagi juru latih, Koperal Udara Khairuzaman Lokman kini menerima rawatan di Hospital Segamat  dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
 
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku dan merakamkan salam takziah kepada seluruh waris anggota yang meninggal dunia yang juga merupakan kehilangan besar kepada TUDM.


(FOTO RTM)

Media Baharu