KUALA LUMPUR, 26 Mei – Teknologi pembayaran menggunakan kod respons pantas (QR Code) dilihat sebagai antara pemacu utama dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau ASEAN, khususnya dalam memperkemas urusan perdagangan merentas sempadan dalam kalangan negara anggota.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Fairuzzaman Shaharuddin, kajian oleh Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menunjukkan bahawa tumpuan kini diberikan kepada pengembangan potensi usahawan mikro menerusi teknologi digital.
“Kajian AEC kini lebih fokus kepada membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan mereka. ASEAN menjadi contoh terbaik dengan penggunaan teknologi QR Code seperti SGQR, DuitNow dan ThaiQR,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu Rancangan Selamat Pagi Malaysia di sini.
Tambah beliau, ASEAN kini berada di hadapan dalam penggunaan teknologi e-dagang berbanding beberapa negara di Kesatuan Eropah yang disifatkan masih bersifat konservatif dalam pendekatan digital.
Dr. Fairuzzaman turut menjelaskan bahawa penggunaan sistem pembayaran QR Code merentas sempadan bukan sahaja memudahkan urusan perniagaan, malah mampu mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (USD) dalam urus niaga serantau.
Ujar beliau, kaedah tersebut juga berpotensi besar untuk dikembangkan dalam sektor perdagangan digital dan ekopelancongan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan negara ASEAN.
“Jika diterokai secara kolektif, potensi dalam sektor ini sangat besar dan boleh menjadi kelebihan kompetitif ASEAN di peringkat global,” jelasnya lagi.
Teknologi QR Code kini digunakan secara meluas di negara seperti Malaysia, Singapura dan Thailand, dan menjadi sebahagian daripada inisiatif transformasi digital ASEAN dalam menuju sebuah komuniti ekonomi yang lebih bersatu dan inklusif.