PUTRAJAYA, 26 Mei- Seramai 97,355 warga emas telah menerima vaksin Influenza di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Menurut beliau, Program Vaksin Influenza untuk Warga Emas yang dilancarkan pada 18 Februari lalu, disasarkan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik bagi mengurangkan risiko komplikasi.
“Mereka yang berumur 60 tahun ke atas, khususnya yang mempunyai komorbiditi, adalah kumpulan yang sangat rentan terhadap penyakit-penyakit kronik. Jadi, vaksinasi influenza ini penting sebagai sebahagian daripada program imunisasi kebangsaan,” katanya.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly turut menjelaskan pelaksanaan imunisasi terhadap ibu mengandung dan warga emas adalah antara inisiatif di bawah strategi imunisasi sepanjang hayat bagi memastikan golongan berisiko terus mendapat perlindungan.
Beliau menekankan, dasar vaksinasi negara sentiasa disemak dan dikemas kini berdasarkan bukti saintifik serta garis panduan antarabangsa.
“Saya menyeru masyarakat agar terus merujuk kepada sumber rasmi dan elakkan menyebarkan maklumat palsu mengenai vaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Putrajaya.