fb fb fb fb fb

'Malaysian Way' teras diplomasi seimbang dalam Sidang Kemuncak ASEAN - Fahmi

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Pendekatan diplomasi berteraskan “Malaysian Way” yang menekankan keseimbangan, keterbukaan dan saling menghormati terus menjadi tunjang kepada peranan Malaysia di pentas antarabangsa.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia terserlah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan platform Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk menyuarakan isu kemanusiaan di Gaza serta memperkukuh hubungan serantau dan global.

Datuk Fahmi berkata, dalam sesi dialog bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Malaysia menegaskan pendirian konsisten menyokong penyelesaian aman terhadap konflik di Gaza, selain menyeru kuasa besar dunia memainkan peranan lebih aktif dalam menghentikan keganasan terhadap rakyat Palestin.

"Perdana Menteri ada menyentuh perbincangan bersama Presiden Trump ketika dalam perjalanan dari Kompleks Bunga Raya ke Kuala Lumpur. Sudah pasti antara perkara yang dibangkitkan melibatkan isu Gaza.

"Kita lihat bagaimana Perdana Menteri menggunakan platform ini untuk menyampaikan mesej jelas, secara terbuka dan juga peribadi.

"Ini menunjukkan tahap diplomasi yang sangat tinggi, apabila Malaysia meraikan semua yang ingin berdagang, berkawan dan berbincang dengan kita dengan cara sama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Riuh x ASEAN di Stadium Merdeka di sini hari ini.

Menurut Datuk Fahmi, sambutan rasmi terhadap Presiden Trump turut mencerminkan pendekatan diplomasi seimbang Malaysia, sama seperti Presiden China, Xi Jinping pada Mei lalu yang turut menerima sambutan meriah daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Ada yang mengatakan sambutan kepada Presiden Trump jauh lebih meriah, tetapi kita perlu ingat bahawa pada Mei lalu kita juga meraikan ketibaan Jinping dengan cara yang sama.

"Tiada sebarang kelainan, kerana Malaysia ingin menunjukkan kepada kuasa besar dunia bahawa kita adalah rakan dialog yang komited untuk berdiplomasi dengan semua pihak. Inilah cara kita berdiplomasi dengan 'Malaysian way',” katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM