KUALA LUMPUR, 26 Mei – Isu tarif unilateral yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap negara anggota ASEAN turut disentuh oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Beliau berkata, satu surat telah dihantar kepada Presiden AS, Donald Trump, bagi mencadangkan pertemuan bersama dengan negara ASEAN untuk membincangkan isu tarif tersebut serta mendapatkan pemahaman secara langsung daripada pihak AS.
"Apabila kami berdepan masalah berkaitan tarif ini, kami bersetuju untuk meneruskan pertemuan dua hala tetapi pada masa yang sama mengekalkan konsensus ASEAN, dan tanpa pengecualian, semua pemimpin ASEAN memberikan sokongan terhadap langkah ini."
"Saya amat menghargainya, dan ini turut dilakukan dengan penyelarasan daripada sekretariat," katanya.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan meskipun pendekatan dua hala diambil untuk menangani isu berkenaan, prinsip kesepakatan ASEAN tetap dikekalkan dan semua pemimpin ASEAN memberikan sokongan terhadap langkah tersebut.
Tambahnya, penghargaan turut diberikan kepada Sekretariat ASEAN atas penyelarasan yang berkesan dalam perkara itu.
Pada 2 April lepas, Trump telah mengumumkan tarif terhadap negara anggota ASEAN dengan kadar antara 10 hingga 49 peratus, namun ditangguhkan selama 90 hari.