KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA) menunjukkan kemajuan sebenar dengan ASEAN komited untuk memuktamadkannya pada akhir tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, para pemimpin ASEAN gembira untuk meneruskan perbincangan dan kerjasama dengan India memandangkan kedua-dua pihak bersedia untuk Pelan Tindakan ASEAN-India 2026-2030.
"Kita mahu memuktamadkan AITIGA pada tahun ini. Jadi, sememangnya terdapat beberapa kemajuan sebenar, bukan sahaja untuk Malaysia.
"Malaysia sentiasa mempunyai hubungan istimewa dengan India, bukan sahaja kerana adanya masyarakat berketurunan India di negara ini, tetapi juga melalui kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pendidikan," katanya di sini.
AITIGA, ditandatangani pada 2009, telah menjalani semakan sejak 2023.
Ia bertujuan mewujudkan aliran bebas barangan antara negara anggota ASEAN dan India, yang akan mengurangkan halangan perdagangan, memperkukuh hubungan ekonomi, mengurangkan kos perniagaan, meningkatkan perdagangan, memperluas pasaran serta menguntungkan daripada segi kos bagi perniagaan.